Mengenal Karya-karya Imam asy-Syafi'i

Imam
asy-Syafi’i rahimahullah banyak menghasilkan karya tulis berupa
kitab-kitab yang mana sebahagiannya beliau tulis sendiri lalu dibacakan
dan dibahaskan kepada masyarakat dan para penuntut ilmu. Manakala
sebahagian lagi dikumpulkan dan dibukukan oleh murid dan para pendukung
madzhabnya.
Dalam
mukaddimah al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab karya Imam an-Nawawi
rahimahullah (Wafat 676 H) disebutkan : “Karya-karya asy-Syafi’i dalam
permasalahan ushul dan furu’ yang belum pernah wujud sebelumnya cukup
banyak dan baik. Di antara yang masyhur lagi terkenal adalah kitab
al-Umm yang jumlahnya mencapai 20 jilid, kemudian al-Jami’ al-Muzanni
al-Kabiir dan ash-Shaghiir, Mukhtashar al-Kabir dan ash-Shaghiir,
Mukhtashar al-Buwaithi dan ar-Rabi’, al-Harmalah, kemudian kitab
al-Hujjah yang merupakan sebahagian dari qaul qadim (karya yang
menjelaskan pegangan awal asy-Syafi’i), ar-Risalah al-Qadiimah,
ar-Risalah al-Jadiidah, al-Amali, al-Imla’, dan selainnya.” (al-Majmu’,
1/11)
Bahkan
ada sebahagian ulama yang menyebutkan bahawa kitab-kitab karya
asy-Syafi’i rahimahullah mencapai 113 buah kitab berkaitan tafsir, fiqh,
sastra, dan disiplin-disiplin ilmu lainnya. Ada juga yang mengatakan
sukar untuk menghitung secara tepat jumlah keseluruhan kitab-kitab karya
beliau. Namun sayangnya sebahagian besar dari kitab-kitab yang disusun
oleh beliau hilang dan tidak sampai kepada kita hari ini.
Kata
Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah (Wafat 1377 H) : “Amat sukar untuk
menghitung kitab-kitab beliau kerana banyak di antaranya yang telah
luput (hilang). Beliau menulis di Makkah, Baghdad, dan Mesir. Adapun
karya-karya beliau yang sampai ke tangan para ulama pada masa ini adalah
apa yang ditulisnya ketika di Mesir, yaitu kitab al-Umm antaranya.”
(Mukaddimah kitab ar-Risalah tahqiq Syaikh Ahmad Syakir, m/s. 9 – Daar
al-Kitab al-‘Ilmiyyah)
Kitab
al-Umm ini adalah sebuah kitab yang dikumpulkan oleh murid Imam
asy-Syafi’i yaitu Imam ar-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi (Wafat 270 H).
Beliau menghimpunnya ketika mendengar bab-bab atau perbahasan-perbahasan
kandungannya tersebut secara langsung dari asy-Syafi’i atau di masa
yang lain. Juga berdasarkan apa yang beliau temui dalam bentuk-bentuk
tulisan asy-Syafi’i rahimahullah.
Kata
al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat 852 H) : “Jumlah
kitab (perbahasan) dalam kitab al-Umm mencapai lebih dari 140 bab,
wallahu a‘lam. Ia dimulakan dengan pembahasan tentang thaharah
(bersuci), kemudian kitab ash-shalah, dan seterusnya yang mana beliau
susun berdasarkan bab-bab fiqh.” (Dinukil dari kitab Manhaj al-Imam
asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah karya Dr. Muhammad al-‘Aql, m/s. 48 –
Maktabah Adhwa as-Salaf)
Pembahasan
yang terkandung dalam kitab al-Umm ini merangkumi pelbagai asas dan
penjabaran persoalan agama yang sangat luas. Bahkan ia boleh dikatakan
sebagai himpunan pembahasan yang mengumpulkan pendapat-pendapat imam
asy-Syafi’i rahimahullah dalam bidang fiqh, tafsir, dan hadits. Di
antara pembahasannya mencakupi aspek thaharah, shalat, hari raya, zakat,
jenazah, puasa, haji, ibadah kurban, perburuan, nadzar, jual beli,
wasiat, faraidh, peperangan, jihad, pernikahan, hudud, qishash, dan
banyak lagi yang lainnya.
Alhamdulillah,
kitab al-Umm karya imam asy-Syafi’i yang amat berharga ini telah
dicetak dan diterbitkan menjadi beberapa jilid semuanya pada hari ini.
Juga telah ada yang siap diterjemahkan dan diringkaskan ke bahasa kita.
Cuma sayangnya, amat sedikit dari kalangan kita yang mampu mengambil
faedah darinya dan memanfaatkannya dengan betul sebagai sumber ilmu
walaupun kita sering mengaku bermazhab Syafi’i.
Selain
kitab al-Umm, di antara yang terkenal dan telah diterbitkan adalah
kitab Ikhtilaf al-Hadits. Ia diterbitkan oleh penerbit Bulaaq bersama
Hasyiyah kitab al-Umm jilid 7. Selain itu juga adalah kitab ar-Risalah.
Kedua buah kitab ini adalah di antara kitab yang diriwayatkan melalui
jalan ar-Rabi’ bin Sulaiman daripada asy-Syafi’i. Ini adalah sebagaimana
kata Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah ketika mentahqiq kitab ar-Risalah
karya asy-Syafi’i.
Kata
Syaikh Ahmad Syakir, kitab ar-Risalah disusun oleh Imam asy-Syafi’i
sebanyak dua kali menjadi ar-Risalah al-Qadiimah (edisi awal) dan
ar-Risalah al-Jadiidah (edisi baru). Ar-Risalah al-Qadiimah disusun oleh
Imam asy-Syafi’i ketika di Makkah demi memenuhi permintaan ‘Abdurrahman
bin Mahdi rahimahullah (Wafat 198 H) di ‘Iraq ketika itu. Ia adalah
kitab dalam bentuk surat untuk ‘Abdurrahman bin Mahdi yang menjelaskan
tentang tafsir al-Qur’an, himpunan hadits-hadits yang boleh diterima,
penghujahan dengan ijma’, dan penjelasan ilmu nasikh wal-mansukh dari
al-Qur’an dan as-Sunnah.
Walau
bagaimanapun, kitab ar-Risalah al-Qadiimah yang dimaksudkan tersebut
telah pun luput dari kita dan apa yang sampai kepada kita hari ini
adalah kitab ar-Risalah al-Jadiidah, dan ia disusun oleh imam
asy-Syafi’i setelah selesainya kitab al-Umm. (Mukaddimah ar-Risalah,
m/s. 10-11)
Kitab
ar-Risalah ini adalah sebuah kitab yang masyhur lagi terbilang dan
diketahui umum sebagai kitab rujukan utama dalam bidang ushul fiqh.
Bahkan Imam asy-Syafi’i boleh dikatakan sebagai tokoh pertama yang
membukukan kaedah-kaedah umum dalam bidang ushul fiqh secara sistematik,
lalu para ilmuan setelah beliau pun menjadikannya sebagai rujukan dan
mengikutinya.
Badruddin
az-Zarkasyi di dalam kitab al-Bahr al-Muhith fii Ushul menyatakan :
“asy-Syafi’i adalah ulama pertama yang menyusun buku tentang ushul fiqh.
Bagi bidang ushul fiqh ini, beliau menulis kitab ar-Risalah, Ahkam
al-Qur’an, Ikhtilaf al-Hadits, Ibthal al-Istihsan, Jama’ al-‘Ilm, dan
al-Qiyas. Melalui pelbagai pembahagian bab-bab pembahasan dalam kitab
ini, beliau telah menjelaskan seluk-beluk penghujahan dengan hadits
ahad, membentangkan syarat-syarat keshahihan hadits, keadilan para
perawi hadits, penolakan khabar mursal dan munqathi’, serta
perkara-perkara lain yang bisa diketahui dengan menyimak isi
kandungannya.” (Mukaddimah ar-Risalah, m/s. 13)
Kitab
ar-Risalah dan bahkan seluruh kitab asy-Syafi’i rahimahullah adalah
himpunan kitab-kitab yang sarat dengan bahasa sastra dan adab yang indah
di samping pembahasan tentang fiqh serta ushul. Selain ilmu imam
asy-Syafi’i dalam bidang fiqh dan ushul, para ulama di zaman beliau
turut mengambil dan berhujjah dengan tutur bahasa imam asy-Syafi’i
rahimahullah. Ini lantaran kehebatan dan keelokan sastra serta bahasa
‘Arab yang fasih yang dikuasai oleh beliau.
‘Abdurrahman
bin Mahdi mengatakan tentang kitab ar-Risalah : “Ketika aku melihat
kitab ar-Risalah karya asy-Syafi’i, aku tercegang kerana aku sedang
melihat (susunan bahasa) seorang yang bijak, fasih, lagi penuh dengan
nasihat sehingga aku memperbanyakkan doa untuknya.” (ar-Risalah, m/s. 4)
Penyusun
kitab Sirah Ibnu Hisyam (Wafat 213 H) mengatakan : “Aku telah lama
bersama-sama dengan asy-Syafi’i, tetapi aku tidak pernah mendengar
beliau berbicara tanpa mengikuti tata bahasa. Aku juga tidak pernah
mendengar secara langsung satu ucapan yang lebih indah dari ucapan
beliau.”
Kata
Syaikh Ahmad Syakir : “Seluruh kitab imam asy-Syafi’i adalah contoh
sastra ‘Arab yang murni dan berada di puncak balaghah yang tertinggi.
Beliau menulis berdasarkan naluri yang bersesuaian dengan fitrah, tidak
dibuat-buat dan tidak dipaksa-paksa. Kitab-kitab beliau adalah
penjelasan yang paling fasih yang pernah anda baca setelah al-Qur’an dan
hadits, tidak dapat ditandingi oleh satu ucapan pun dan tidak
terkalahkan oleh satu tulisan pun.”
Kata
Syaikh Ahmad Syakir lagi yang merupakan ulama besar kontemporer yang
lahir dalam lingkaran pendidikan Universitas al-Azhar ketika itu :
“Kitab ar-Risalah sepatutnya menjadi kitab pengajian wajib di
Universitas al-Azhar serta universitas-universitas lainnya. Juga dipilih
beberapa bab dari kandungannya untuk dijadikan sebagai bahan pengajian
pelajar-pelajar di peringkat menengah dan pusat-pusat pendidikan awal
supaya mereka mendapat ilmu pengetahuan dan pandangan hujjah yang benar
lagi kuat.” (Mukaddimah ar-Risalah, m/s. 13-14)
Demikianlah
apa yang dapat diungkapkan tentang karya-karya milik imam asy-Syafi’i
rahimahullah. Karya-karyanya masyhur lagi dikenali bagai matahari yang
menyinar di waktu siang. Menjadi rujukan dan panduan buat masyarakat,
penuntut ilmu, dan para ulama dahulu dan kini umpama bintang di malam
hari. Para ilmuan dulu dan kini berlumba-lumba mendalaminya,
mengikutinya, dan melakukan kupasan.
Imam
an-Nawawi rahimahullah mengatakan : “Adapun karya-karya para pendukung
imam asy-Syafi’i yang merupakan penjelasan terhadapan matan (teks
perkataan), pernyataan, rangkuman konsep, dan pandangan hasil
kaedah-kaedah asy-Syafi’i tidak terhitung jumlahnya. Di samping faedah
dan manfaatnya yang sangat banyak, ukuran dan susunannya pun begitu
baik. Ini adalah sebagaimana komentar Abu Hamid al-Isfirayini, al-Qadhi
Abu ath-Thayyib, pengarang al-Hawi, imam al-Haramain, dan selainnya. Ini
semua menjadi bukti nyata akan kedalaman ilmu imam asy-Syafi’i,
kebaikan perkataannya, dan kesahihan niatnya dalam ilmu.” (al-Majmu’,
1/12)
Selain
kitab-kitab yang telah disebutkan, ada beberapa kitab lainnya yang
turut dinisbatkan atau disandarkan ke atas imam asy-Syafi’i rahimahullah
seperti kitab al-Musnad, as-Sunan, ar-Radd ‘ala al-Baraahimah, Mihnah
asy-Syafi’i, ar-Radd ‘alaa Muhammad bin al-Hasan dan beberapa yang
lainnya. Selain kitab-kitab berupa karya tulis beliau sendiri, perkataan
dan fatwa-fatwa imam asy-Syafi’i juga turut terhimpun atau dibawakan
dalam kitab-kitab para pendukung madzhabnya. Juga dalam kitab-kitab
berkaitan biografi para ulama.

0 Komentar:
Posting Komentar
Berlangganan Posting Komentar [Atom]
<< Beranda