Mengenal Imam asy-Syafi'i Rahimahullah
Kita
di Indonesia sering mengklaim bahwasanya kita mengamalkan Islam
berdasarkan Madzhab asy-Syafi’i ahli sunnah wal-jama’ah. Tapi sayangnya,
mayoritas masyarakat Islam kita sendiri masih tidak tahu siapakah dia
Imam asy-Syafi’i rahimahullah. Kenapa kita bermadzhab Syafi’i? Apa
karya-karya tulis beliau? Apa pegangannya?
Lantas benarkah kita bermadzhab dengan madzhab asy-Syafi’i? Atau kita sedang mengamalkan madzhab yg kita pun tidak tahu menahu?
Sepatutnya
wajib bagi kita untuk mengenali siapakah ulama kita. Yaitu tempat di
mana kita mengambil ilmu, agama, dan pendapat. Yaitu para ulama yang
mewariskan ilmu-ilmu warisan Nabi berupa al-Qur’an dan as-Sunnah. Tidak
wajar sekiranya kita mengamalkan suatu ilmu dan menisbahkan atas nama
ulama tersebut namun kita tidak mengetahui siapakah beliau.
Seorang
tabi’in besar, Muhammad bin Sirin rahimahullah (Wafat 110H) mengatakan :
“Sesungguhnya ilmu itu adalah dien (petunjuk kehidupan), oleh itu
telitilah dengan baik daripada siapa kamu mengambil ilmu agama.” (Rujuk
Muqaddimah Shahih Muslim, 1/33)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda : “Sesungguhnya
para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah
mewariskan dinar maupun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka,
sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat
bahagian yang sangat besar.” (Hadits Riwayat Abu Daud, 49/10, no. 3157. Dinilai shahih oleh al-Albani)
Oleh
itu, sebelum kita mengambil ilmu ulama tersebut dan bermadzhab dengan
pendapat serta ilmunya, ada baiknya kita mengenali terlebih dahulu
siapakah beliau.
Perkataan Madzhab
Asal
makna madzhab sebenarnya merujuk kepada pendapat, jalan, methodologi,
aliran, ajaran, kerangka pemikiran, atau ushul bagi sesuatu perkara.
Dari sudut istilah, madzhab merujuk kepada himpunan pendapat atau
kerangka methodologi yang membina sesuatu pendapat bagi sesebuah aliran
agama.
Contohnya
seperti madzhab asy-Syafi’i, merujuk kepada methodologi yang digunakan
oleh Imam asy-Syafi’i atau para pengikutnya dalam memahami nash-nash
al-Qur’an dan al-hadits. Boleh juga merujuk kepada pegangan (atau fatwa)
yang dikeluarkan oleh Imam asy-Syafi’i dan para pengikutnya sama ada
dalam persoalan aqidah atau fiqh.
Di
antara contoh-ontoh madzhab dalam aqidah adalah seperti madzhab ahlus
sunnah wal-jama’ah, madzhab al-khawarij, muktazilah, qadariyah,
murji’ah, al-asya’irah, dan syi’ah. Bagi madzhab fiqh, ia merujuk kepada
contoh-contoh perbezaan pendapat dalam aliran ahli sunnah wal-jama’ah
dalam urusan fiqh seperti Maliki, Hanafi, Syafi’i, dan Hanbali.
Perbedaan
madzhab dalam aqidah akan menentukan benar atau sesatnya sesuatu
kelompok tertentu. Dan madzhab yang benar dalam aqidah adalah madzhab
ahli sunnah wal-jama’ah atau juga dikenali sebagai madzhab para salaf.
Berbeda dengan perselisihan dalam aliran fiqh seperti Maliki, Hanafi,
Syafi’i, dan Hanbali, ia tidak menjadi ukuran terkeluarnya seseorang
atau pendukung madzhab fiqh tersebut dari kebenaran selagi mana masih
berada dalam kerangka methodologi (madzhab) aqidah ahli sunnah
wal-jama’ah.
Siapa Imam Asy-Syafi’i?
Beliau
adalah Muhammad bin Idris asy-Syafi’i bin al-‘Abbas bin ‘Utsman bin
Syafi’i bin as-Saib bin ‘Ubaid bin ‘Abdu Yazid bin Hisyam bin
al-Muthallib bin ‘Abdi Manaf. Imam asy-Syafi’i lahir pada tahun 150 H
yang merupakan tahun kewafatan Imam Abu Hanifah rahimahullah.
Beliau
adalah seorang imam, ‘aalim (sangat berilmu), naashirul hadits (pembela
hadits), dan pendapatnya (madzhabnya) menjadi ikutan. Beliau
berketurunan Quraisy, lahir di perkampungan Ghozzah di kota ‘Asqalan
lalu berhijrah ke Makkah. Beliau memiliki nasab sampai kepada nasab
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ‘Abdi Manaf bin Qushay.
Imam
asy-Syafi’i rahimahullah dikenali sebagai pembela hadits kerana
komitmennya dalam mengikuti sunnah dan terkenal menentang aliran ra’yi,
yaitu golongan yang suka berhujjah menggunakan akal berbanding
dalil-dalil al-Qur’an dan al-hadits seperti golongan ahli kalam dan ahli
falsafah. Termasuk gurunya sendiri yaitu Muhammad bin al-Hasan
asy-Syaibani rahimahullah sering beliau bantah kerana berhujah dengan
ra’yi.
Walaupun
Imam asy-Syafi’i sangat menghormati dan menyayangi Muhammad bin
al-Hasan asy-Syaibani rahimahullah, tetapi dikala pendapat yang dipegang
oleh gurunya tersebut bertentangan dengan dalil, ia tidak berbasa-basi
untuk menegur dan membantahnya. Oleh kerana itulah di setiap kali
selesainya halaqah Muhammad bin al-Hasan, beliau akan datang mendekati
anak-anak murid Muhammad bin al-Hasan yang lain untuk berdiskusi dengan
mereka.
Pengembaraan
beliau dalam menuntut ilmu mencakupi bumi Makkah, Madinah, Yaman,
Kufah, Bashrah, Syam, dan Mesir. Beliau adalah seorang yatim, miskin,
dan tidak berharta. Tetapi kerana semangatnya yang kental dan cintakan
ilmu, akhirnya Allah memuliakannya sebagai seorang imam dalam agama ini.
Beliau
membesar dalam asuhan seorang ibu dan guru yang ramai. Beliau begitu
tekun belajar sehingga menguasai al-Qur’an seawal usia 7 tahun dan hafal
kitab al-Muwaththa’ karya Imam Malik ketika usianya 10 tahun atau 13
tahun. Pada usianya 15 tahun (dalam riwayat lain 18 tahun), beliau telah
mendapat izin daripada gurunya Muslim bin Khalid az-Zanji rahimahullah
untuk berfatwa.
Ketika di Makkah
Di
usia kanak-kanaknya beliau telah menghabiskan waktunya untuk mendalami
agama dan berguru dengan banyak ulama. Beliau rajin menulis setiap ilmu
yang dipelajarinya pada tulang-tulang dan yang semisalnya. Kesusahan dan
kemiskinan hidup sama sekali bukan halangan bagi dirinya untuk
berkomitmen dalam menuntut ilmu.
Imam
asy-Syafi’i menceritakan : “Aku hidup sebagai seorang yatim dalam
jagaan ibuku. Ibuku tidak mampu membayar seorang guru untuk mengajarku.
Tetapi guru tersebut ridha dan merasa senang jika aku dapat menjadi
penggantinya. Maka setelah aku menghabiskan al-Qur’an, aku hadir di
masjid dan berkumpul bersama-sama para ulama untuk menghafal hadits dan
permasalahan agama sementara tempat tinggal kami terletak di jalan Bukit
al-Khaif. Aku menulis (ilmu yang dipelajari) di atas tulang. Setelah
banyak, tulang-tulang tersebut aku masukkan ke dalam sebuah bekas
besar.” (Tawaali at-Ta’siis, m/s. 54. Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj
al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 23 – Maktabah Adhwa
as-Salaf)
Berdasarkan
keterangan riwayat-riwayat, Imam asy-Syafi’i memulakan pengajiannya
dengan mempelajari al-Qur’an di Makkah, dan kemudian meneruskan kepada
ilmu bahasa dengan mula menekuni sya’ir-sya’ir ‘Arab, sejarah ‘Arab, dan
sastra-sastra ‘Arab. Beliau banyak bergaul rapat dengan suku Hudzail
jauh di kawasan pedalaman yang dengannya beliau menguasai bahasa ‘Arab,
balaghah, dan syai’r-sya’ir ‘Arab. Ini turut beliau teruskan ketika
bolak-balik di antara Makkah dan Madinah.
Setelah
menekuni ilmu bahasa, beliau kembali lagi ke Makkah. Kemudian barulah
beliau mendalami ilmu-ilmu fiqh di Makkah terutamanya bersama-sama
dengan mufti Makkah ketika itu, Syaikh Muslim bin Khalid az-Zanji
rahimahullah.
Setelah
beberapa waktu, beliau pun mulai melangkahkan kaki melakukan
pengembaraan pertamanya ke Madinah dalam rangka menuntut ilmu. Beliau
berangkat ke Madinah kira-kira pada usia 13 tahun dalam rangka menguasai
ilmu hadits dan fiqh serta sering bolak-balik di antara Makkah dan
Madinah.
Di
Madinah beliau bertemu dengan Imam Malik bin Anas rahimahullah (Wafat
179 H), berguru dengannya, dan membacakan kitab al-Muwaththa’ karya Imam
Malik yang telah beliau hafal sejak awal. Beliau dikatakan oleh para
ulama telah mengambil hampir semua ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik
bin Anas dan menghimpunkan ilmu dari para ulama di Madinah.
Imam
asy-Syafi’i rahimahullah menceritakan : “Aku keluar dari Makkah untuk
hidup dan bergaul dengan suku Hudzail di kawasan pedalaman. Aku
mengambil bahasa mereka dan mempelajari ucapan-ucapan mereka. Mereka
adalah suku ‘Arab yang paling fasih bahasanya. Setelah beberapa tahun
tinggal bersama-sama dengan mereka, aku pun kembali ke Makkah. Kemudian
aku membacakan sya’ir-sya’ir mereka, mengungkapkan peristiwa-peristiwa
dan kisah-kisah peperangan bangsa ‘Arab. Ketika itu lewatlah seorang
lelaki dari suku az-Zuhri dan beiau berkata kepadaku, “Wahai Abu
‘Abdillah, sayang sekali jika keindahan bahasa yang engkau kuasai
tersebut tidak diimbangi dengan ilmu dan fiqh.”
Aku
(Imam asy-Syafi’i) menjawab : “Siapakah orang yang patut aku temui?”.
Ia menjawab pula ; “Malik bin Anas, pemimpin umat Islam.” Imam
asy-Syafi’i mengatakan : “Maka timbullah minatku untuk mempelajari kitab
al-Muwaththa’ karya Imam Malik.” Atas sebab itu, aku pun meminjam kitab
tersebut dari seorang lelaki di Makkah. Setelah menghafalnya, aku pun
menemui Gubernur Makkah dan mengambil surat untuk aku berikan kepada
Gubernur Madinah dan Imam Malik.” (Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam
asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 26 – Maktabah Adhwa as-Salaf)
Mush’ab
az-Zuhri mengatakan : “Imam asy-Syafi’i telah mengambil hampir semua
ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik bin Anas dan mengumpulkan ilmu para
syaikh yang ada di Madinah.” (Mu’jam al-Udabaa’, 17/283)
Ujian Melanda
Sekembalinya
imam asy-Syafi’i dari Madinah ke Makkah, beliau rahimahullah amat sibuk
dengan ilmunya. Walau bagaimanapun beliau masih tetap tidak merasa
cukup dengan ilmu yang telah dimilikinya saat itu. Jiwanya terus haus
dan dahagakan ilmu. Ketika beliau mendengar kabar tentang Yaman sebagai
gudang ilmu, semangatnya pun menggelegak untuk mendatangi negeri Yaman.
Setelah
mendapat bekal yang mencukupi, beliau pun berangkat ke Yaman. Ketika
Imam asy-Syafi’i berada di Yaman dalam rangka menuntut ilmu sambil
bekerja, beliau telah difitnah oleh para pencinta dunia.
Pada
saat itu telah terjadi banyak permusuhan dan pembangkangan terhadap
pemerintah yang dilakukan oleh golongan ‘Alawiyyah terhadap pemerintahan
bani ‘Abbasiyyah ketika itu.
Mungkin
disebabkan beliau dibenci oleh sebahagian kelompok disebabkan prestasi
kerjanya ketika itu, beliau pun difitnah oleh para pencinta dunia karena
mereka khawatir imam asy-Syafi’i akan mendapat tempat di sisi
pemerintah. Beliau dituduh sebagai berkomplot dengan golongan
pemberontak kaum ‘Alawiyyin.
Kerana
fitnah yang beredar tersebut, seorang panglima Bani ‘Abbasiyyah pun
mengirimkan surat kepada khalifah Harun ar-Rasyid yang di antara isinya
adalah : “Masyarakat sedang khawatir terhadap bahaya kaum ‘Alawiyyin
karena dalam kalangan mereka ada seorang pemuda bernama Muhammad bin
Idris yang dengan lisannya mampu melakukan sesuatu yang jauh berbahaya
berbanding pembunuh dengan pedangnya. Oleh karena itu, jika tuan
memiliki kepentingan terhadap wilayah Hijaz, asingkanlah mereka
daripadanya.” Maka Imam asy-Syafi’i pun diikat tangannya bersama
beberapa orang ‘Alawiyyin lalu dibawa ke ‘Iraq. (al-Baihaqi, Manaqib
asy-Syafi’i, 1/106-107 – Maktabah Daar at-Turaats)
Atas
sebab fitnah tersebut, maka khalifah Harun ar-Rasyid pun lantas
memerintahkan Gubernur Yaman supaya mengusir asy-Syafi’i bersama-sama
yang lainnya. Lalu beliau pun dibawa ke ‘Iraq dalam keadaan diikat dan
dirantai. Selain itu beliau turut dibawa dalam keadaan disiksa sepanjang
perjalanan untuk menghadap khalifah. Peristiwa ini terjadi pada sekitar
tahun 184H ketika usia Imam asy-Syafi’i 30 tahun. Beliau disiksa,
dipenjara, dan hampir dibunuh atas arahan khalifah ketika itu.
Tetapi
Allah menyelamatkannya melalui bantuan Muhammad bin al-Hasan
asy-Syaibani yang merupakan orang yang banyak berdampingan dengan
khalifah. Setelah beliau dibebaskan, beliaupun berguru dan berdampingan
dengan Muhammad bin al-Hasan untuk mendapatkan ilmu-ilmu fiqh dan
hadits-hadits di ‘Iraq darinya. Setelah beberapa lama, beliau pun
kembali ke Makkah dan mengajar di sana sebelum kembali lagi ke ‘Iraq
untuk kedua kalinya.
Ini
diantaranya adalah sebagaimana yang ditulis oleh al-Hafiz Ibnu Katsir
rahimahullah (Wafat 774 H) dalam kitab sirahnya : “Maka imam asy-Syafi’i
rahimahullah dibawa dengan dinaikkan ke atas keledai dalam keadaan
terikat menuju Baghdad pada tahun 184H. Ketika itu usianya 30 tahun.
Kemudian beliau dihadapkan kepada Harun ar-Rasyid dan berlangsunglah
perbicaraan di antara mereka berdua sementara Muhammad bin al-Hasan
duduk di sisi khalifah Harun sambil memuji imam asy-Syafi’i
rahimahullah. Akhirnya jelaslah bagi Harun ar-Rasyid bahwa tuduhan yang
dilemparkan ke atas imam asy-Syafi’i tidaklah benar.
Seterusnya
Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibani pun memberikan tempat kepada imam
asy-Syafi’i manakala sahabat beliau Abu Yusuf telah setahun atau dua
tahun wafat. Asy-Syafi’i dimuliakan oleh Muhammad bin al-Hasan dan
beliau pun menimba ilmu daripadanya.” (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa
an-Nihayah, 14/133 – Daar al-Hajr)
Walaupun
imam asy-Syafi’i banyak mengambil ilmu daripada Muhammad bin al-Hasan
asy-Syaibani dan sangat menghormatinya, tetapi perselisihan yang berlaku
di antara mereka amat terkenal dan begitu masyhur sekali. Keduanya
sering berdiskusi, berselisih pendapat, dan saling berdebat. Ini adalah
kerana keteguhan pegangan imam asy-Syafi’i terhadap madzhab ahli hadis
manakala Muhammad bin al-Hasan pula adalah madzhab ahli ar-ra’yi yang
lebih mengedepankan logika.
Imam
asy-Syafi’i banyak membaca dan mendalami karya-karya Muhammad bin
al-Hasan, tetapi itu tidak bermakna beliau menerima secara bulat-bulat
tanpa sifat kritis dan analisa. Imam asy-Syafi’i rahimahullah mengatakan
: “Untuk memiliki kitab Muhammad bin al-Hasan rahimahullah, aku
menghabiskan uang sebanyak 60 dinar. Kemudian aku mempelajarinya lalu
aku tuliskan sebuah hadits bagi setiap permasalahan. Maksudnya adalah
bertujuan melakukan bantahan (atau koreksi dengan mengemukakan dalil).”
(Aadaab asy-Syafi’i, m/s. 33-34. Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam
asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 34 – Maktabah Adhwa as-Salaf)
Setelah
beberapa waktu mengambil ilmu dari para ulama di ‘Iraq, beliau pun
pulang ke Makkah dan namanya ketika itu cukup masyhur lagi dikenali.
Beliau pun mulai mengajarkan ilmunya di Masjid al-Haram yang merupakan
tempat di mana dahulu beliau menimba ilmu.
Pada
setiap kali tiba musim haji, ribuan manusia datang ke Makkah. Bagi
mereka yang pernah mendengar nama beliau berserta ilmunya yang
mengagumkan, mereka pun berlomba-lomba mengikuti majlis-majlis ilmu imam
asy-Syafi’i sehingga nama imam asy-Syafi’i semakin terkenal ke pelbagai
negeri.
Di
antara yang mendatangi majlis ilmu imam asy-Syafi’i adalah imam
al-Humaidi, Ishaq bin Rahawaih, dan Ahmad bin Hanbal rahimahumullah.
Imam
al-Humaidi rahimahullah mengatakan : “Ketika Ahmad bin Hanbal
rahimahullah tinggal bersama kami di Makkah, beliau mengikuti majlis
ilmu Sufyan bin ‘Uyainah rahimahullah. Pada suatu hari, beliau
mengajakku ke suatu tempat. Kata beliau : “Di sana ada seorang lelaki
Quraisy yang memiliki ilmu pengetahuan dan bicara yang amat baik.”
“Siapakah beliau?”, aku bertanya. Ahmad menjawab : “Muhammad bin Idris
asy-Syafi’i.”
Ketika
di ‘Iraq, Ahmad bin Hanbal pernah turut serta di majlis ilmunya. Karena
beliau sering membujukku, akhirnya aku pun duduk bersama dengannya.
Setelah mendengar uraian perbahasannya dalam beberapa permasalahan, kami
berdiskusi. “Bagaimana pendapat engkau?” Tanya Ahmad B. Hanbal. Aku
berusaha mencari-cari kesalahannya dan itu aku lakukan karena dalam
diriku terdapat kedengkian terhadap orang Quraisy. Maka Ahmad bin Hanbal
pun berkata : “Rupanya engkau tidak senang jika ada pemuda Quraisy
memiliki ilmu dan keindahan bahasa seperti beliau. Beliau membahas
seratus masalah, tetapi salahnya hanya lima atau hanya sepuluh.
Tinggalkanlah yang salah dan ambillah yang benar!”.” (Aadaab
asy-Syafi’i, m/s. 44)
Imam
Ahmad bin Hanbal rahimahullah pernah ditanya tentang imam asy-Syafi’i
lalu beliau menjawab : “Allah telah menganugerahkan asy-Syafi’i kepada
kami. Dahulu kami belajar perkataan para ulama dan menuliskan
kitab-kitab mereka sehinggalah datang asy-Syafi’i kepada kami. Ketika
kami mendengar perkataan asy-Syafi’i, maka kami tahu bahawa beliau lebih
alim berbanding para ulama lainnya. Kami bermajlis bersamanya selama
berhari-hari dan bermalam-malam tetapi kami tidak melihat sesuatu
daripadanya melainkan yang baik-baik.”
Ahmad
bin Hanbal juga mengatakan : “Tidak ada seorang pun yang berbicara
tentang ilmu yang lebih sedikit kesalahannya dan lebih teguh berpegang
terhadap sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam daripada
asy-Syafi’i.” Selain itu, beliau juga mengatakan : “Apabila datang
persoalan yang tidak ada riwayat haditsnya, maka berilah fatwa
berdasarkan perkataan asy-Syafi’i.” Juga kata imam Ahmad : “Tidaklah
seseorang memegang tinta dan pena melainkan asy-Syafi’i memiliki
sumbangan terhadapnya.” (Mukaddimah Ahkam al-Qur’an karya al-Baihaqi,
m/s. 12 – Pustaka Azzam)
Bertemu Imam Ahmad bin Hanbal di ‘Iraq
Saat
kepergiannya ke ‘Iraq untuk kedua kalinya pada tahun 195 H (sebahagian
riwayat mengatakan tahun 199 H atau 200 H), beliau bertemu dengan Imam
Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat 241 H) walaupun sebelumnya pernah
bertemu di Makkah ketika musim haji.
Perjalanannya
yang kedua ini berbeda dengan perjalanannya yang pertama. Jika yang
pertama disebabkan beliau difitnah dan diusir, tetapi kali ini adalah
kerana kehendaknya sendiri. Nama beliau ketika ini jauh lebih dikenali
dibandingkan dengan kedatangan yang sebelumnya.
Beliau
mendapat tempat dan kedudukan yang mulia di sisi masyarakat ‘Iraq
ketika itu. Para penuntut ilmu yang sebelumnya belajar dengan para ulama
lain justru berpindah dan mengambil tempat di majlis-majlis imam
asy-Syafi’i rahimahullah.
Sejak
beliau tiba di Iraq, para penuntut ilmu berlomba-lomba datang mengambil
ilmu kepadanya termasuk Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih, dan
‘Abdurrahman bin Mahdi. Di samping itu, beliau turut bergaul dan saling
mengambil ilmu daripada Imam Ahmad bin Hanbal. Majlis-majlis para ahli
ra’yi yang sebelumnya begitu banyak pun akhirnya berkurang sejak
kedatangan imam asy-Syafi’i karena masing-masing penuntut ilmu berpindah
ke majlis ilmu imam asy-Syafi’i. Demikian juga para pencinta hadits,
mereka tidak melepaskan peluang untuk bermajlis dan mengambil ilmu
daripda imam asy-Syafi’i.
Imam
Ahmad bin Hanbal berkata : “Kalau sebelumnya banyak kesimpulan kami
(para ulama hadits) diambil dari para pengikut imam Abu Hanifah dan
terus sepertu itu sampai datangnya imam asy-Syafi’i rahimahullah. Beliau
adalah orang yang paling faham tentang kitab Allah dan Sunnah
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau tidak pernah puas
dengan hanya mencari sedikit hadits.”
Imam
Ibrahim bin al-Harbi rahimahullah mengatakan : “Ketika imam asy-Syafi’i
rahimahullah datang ke Baghdad, di Masjid Jami al-Gharbi terdapat 20
halaqah (majlis ilmu) yang diadakan oleh para ulama ra’yi. Pada Jum’at
kedua setelah kedatangan imam asy-Syafi’i, yang tinggal hanya 3 atau 4
halaqah sahaja. Padahal imam asy-Syafi’i tidaklah menetap di ‘Iraq dan
adakalanya di Makkah. Imam asy-Syafi’i rahimahullah datang ke negeri
kami pada tahun 195 H dan beliau menetap selama 2 tahun. Setelah itu
beliau pergi ke Makkah lalu pada tahun 198H beliau datang lagi dan
menetap selama beberapa bulan dan kemudian pergi pula ke Mesir.”
(al-Baihaqi, Manaqib asy-Syafi’i, m/s. 1/220)
Abu
Tsaur rahimahullah mengatakan : “Ketika imam asy-Syafi’i datang ke
‘Iraq, datanglah kepadaku Husain al-Karabisi. Beliau dan aku ketika itu
cenderung kepada madzhab ahli ra’yi. Kata Husain : “Telah datang seorang
lelaki ahli hadits yang juga ahli fiqh. Marilah kita uji beliau.” Maka
kami pun berangkat menemui imam asy-Syafi’i. Husain al-Karabisi
mengujinya dengan mengajukan sebuah pertanyaan. Maka imam asy-Syafi’i
terus menjawabnya dengan membawakan ayat-ayat al-Qur’an dan banyak
hadits-hadits sehingga akhirnya kami pun meninggalkan bid’ah-bid’ah yang
kami lakukan sebelum itu lalu kami pun mengikutinya.” (Manaaqib
asy-Syafi’i, 1/220)
Kata Imam Ahmad bin Hanbal : “Imam asy-Syafi’i benar-benar adalah pembela sunnah.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/471)
Imam
Ahmad bin Hanbal juga berkata : “Di antara sikap terpuji imam
asy-Syafi’i adalah apabila beliau mendengar sebuah hadits (yang shahih
yang bertentangan dengan pendapatnya) yang belum pernah beliau dengar,
maka beliau akan mengambil hadits tersebut dan meninggalkan
pendapatnya.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/476)
Beliau
juga mengatakan : “Mujaddid pada abad pertama adalah ‘Umar bin ‘Abdul
‘Aziz rahimahullah, dan pada abad kedua adalah imam asy-Syafi’i
rahimahullah.”
Kata
beliau juga : “Benar-benar semenjak 40 tahun lalu aku sentiasa
mendoakan imam asy-Syafi’i dalam setiap shalatku.” (al-Baihaqi, Manaaqib
asy-Syafi’i, 1/55)
Kata
Ahmad bin Hanbal rahimahullah lagi : “Aku tidak pernah melihat orang
yang lebih mengikuti sunnah berbanding imam asy-Syafi’i rahimahullah.”
(al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/471)
Kata
‘Abdurrahman bin Abu Hatim rahimahullah, Ahmad bin Hanbal lebih hebat
daripada Imam asy-Syafi’i (dalam bidang hadits) kerana Imam asy-Syafi’i
belajar banyak perkara berkaitan hadits daripada Imam Ahmad. Kata
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah, Imam Ahmad tidak membaca kitab tertentu
secara khusus bersama Imam asy-Syafi’i, tetapi mereka saling
berdampingan dan saling mengambil ilmu di antara satu sama lain.
Kata
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat 728 H), Imam Ahmad
bin Hanbal rahimahullah tidak membaca suatu kitab tertentu di hadapan
imam asy-Syafi’i rahimahullah secara khusus, tetapi mereka saling
berdampingan (mengambil ilmu) sebagaimana imam asy-Syafi’i rahimahullah
mendampingi Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibani yang mana masing-masing
saling mengambil dan memberi ilmu di antara mereka.
Keserasian
pendapat di antara mereka berdua dalam ushul fiqh lebih banyak
berbanding keserasian imam asy-Syafi’i dengan Muhammad bin al-Hasan.
Usia imam asy-Syafi’i rahimahullah 17 tahun lebih tua berbanding imam
Ahmad bin Hanbal. Imam asy-Syafi’i rahimahullah datang pertama kali ke
Baghdad pada tahun 187H. Ketika Muhammad bin al-Hasan masih hidup dan
setelah wafatnya al-Qadhi Abu Yusuf rahimahullah, kemudian beliau datang
untuk kali keduanya ke Baghdad pada tahun 197H. Ketika itulah beliau
bertemu dengan Ahmad bin Hanbal.” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah
an-Nabawiyah, 7/533)
Pergi ke Mesir
Ketika
fitnah ilmu kalam melanda, imam asy-Syafi’i pun tidak lagi senang
tinggal di ‘Iraq. Ketika itu ‘Iraq dipimpin oleh khalifah al-Ma’mun dan
beliau dikuasai oleh tokoh-tokoh ahli kalam sehingga al-Ma’mun sendiri
turut merealisasikan permusuhan terhadap para ahli sunnah.
Khalifah
al-Ma’mun ketika itu begitu rapat dan bergaul sama dengan para tokoh
utama ulama ilmu kalam malah beliau menjadikan para ulama ahli kalam
sebagai juru tulis dan sahabat-sahabat yang akrab. Tokoh-tokoh ahli
kalam diberi kedudukan yang istimewa di sisi beliau. Dunia Islam pada
waktu itu benar-benar bergolak dengan fitnah ilmu kalam.
Darah-darah
para ulama ahli sunnah mula halal ditumpahkan, mereka dibunuh dan
disiksa dengan kejam. Di antara fitnah yang begitu jelas melanda adalah
perintah supaya mengimani bahawa al-Qur’an adalah makhluk, bukan
kalamullah. Para ulama ahli sunnah benar-benar tersiksa dan menderita
ketika itu.
Di
sinilah bermulanya puncak kegemilangan bid’ah mu’tazilah (ahli kalam).
Ia menyebar-luas di ‘Iraq di bawah pemerintahan khalifah al-Ma’mun dan
sunnah pun tampak tenggelam, manakala tokoh-tokohnya ditindas dan
dibunuh.
Inilah
faktor yang menjadikan imam asy-Syafi’i rahimahullah berhasrat
meninggalkan ‘Iraq lalu memilih dan menuju Mesir. Di Mesir, madzhab imam
Malik masih tersebar luas dan ia adalah termasuk madzhab ahli hadits
atau ahli sunnah wal-jama’ah. Suasana di Mesir ketika itu masih murni
dan jauh dari bid’ah-bid’ah ilmu kalam dan tokoh-tokohnya.
Imam asy-Syafi’i berkata di dalam Sya’irnya:
Jiwaku ingin ke Mesir
Tetapi aku perlu menempuh tanah yang tandus...
Wallahi, aku tidak tahu sama ada untuk mendapatkan kekayaan
Atau meraih kebahagiaanku di sana.
Atau ke kuburan aku akan digiring?
(Diiwaan asy-Syafi’i, m/s. 47)
Setelah
sampai di Mesir beliau pun menuju ke Masjid ‘Amr bin al-‘Ash. Untuk
pertama kalinya beliau berbicara di situ dan dengan serta-merta beliau
pun dicintai dan disukai oleh masyarakat. (al-Baihaqi, Manaaqib
asy-Syafi’i, 2/284)
Harun
bin Sa’id al-Ayli berkata : “Aku tidak pernah melihat orang seperti
imam asy-Syafi’i rahimahullah. Ketika datang ke Mesir, orang-orang
berkata, “Telah datang kepada kita seorang lelaki Quraisy. Kami pun
mendatanginya ketika beliau sedang shalat. Ternyata kami belum pernah
melihat seorang yang shalatnya lebih baik daripada beliau dan wajah yang
lebih tampan daripada beliau. Bila beliau berbicara, kami pun belum
pernah mendengar ada orang lain yang lebih indah bahasanya dari bahasa
beliau. Kerana itulah kamipun tertarik kepadanya.”
Di
sanalah ilmu dan keluasan pandangan imam asy-Syafi’i rahimahullah
terpapar. Ia meguasainya melalui pengembaraan dan beliau mengambil
banyak pelajaran melalui siri-siri pengembaraan tersebut. Beliau teliti
kembali kitab-kitab yang telah ditulisnya lalu beliau perbaiki
kesalahan-kesalahan yang ada. Beliau banyak mengubah
pendapat-pendapatnya dengan mengemukakan pendapat-pendapat yang baru
lalu beliau tuliskan ke dalam kitab.
Banyak
para ulama yang terkesan dengan ilmu, manhaj, dan keteguhan beliau
dalam mengikuti sunnah. Mereka belajar dan berguru kepadanya setelah
sebelumnya mereka fanatik terhadap satu madzhab yaitu sama ada madzhab
Malik bin Anas atau madzhab Abu Hanifah. (Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj
al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 39 – Maktabah Adhwa
as-Salaf)
Wafatnya Imam asy-Syafi’i rahimahullah
Imam
asy-Syafi’i begitu giat dan sibuk berdakwah sehingga akhir hayatnya.
Beliau begitu gigih menyebarkan ilmu dan mengarang kitab di Mesir
tersebut sehingga hal itu memberi mudharat ke atas tubuh beliau.
Akibatnya beliau terkena penyakit buwasir yang menyebabkan keluarnya
darah. Tetapi disebabkan kecintaannya terhadap ilmu, beliau tetap
meneruskan pekerjaannya tersebut tanpa mempedulikan sakitnya. Sehingga
akhirnya beliau pun meningga dunia di akhir bulan Rajab tahun 204H.
Semoga Allah memberi rahmat yang luas kepadanya. (al-Baihaqi, Manaaqib
asy-Syafi’i, 2/291. Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii
Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 39)
Para Guru dan Murid Imam asy-Syafi’i
Imam
asy-Syafi’i rahimahullah mengambil banyak ilmu dari para ulama di
pelbagai tempat dan wilayah. Ini disebutkan oleh ramai ulama tahqiq dan
penyusun biografi seperti al-Baihaqi, Ibnu Katsir, al-Mizzi, dan
al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani.
Kata
al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah : “Imam asy-Syafi’i belajar banyak
hadits dari para syaikh dan para imam. Beliau membaca sendiri kitab
al-Muwaththa’ dengan hafalan sehingga imam Malik rahimahullah kagum
terhadap daya hafalan dan usaha gigihnya. Diriwayatkan daripada Imam
Malik bahwa imam asy-Syafi’i rahimahullah mengambil ilmu ulama Hijjaz
sebagaimana beliau mengambilnya daripada Syaikh Muslim bin Khalid
az-Zanji rahimahullah.” (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah,
14/132-133 – Daar al-Hajr)
Imam
al-Baihaqi menyebutkan di antara guru Imam asy-Syafi’i di Makkah adalah
Imam Sufyan bin ‘Uyainah (Wafat 198 H), ‘Abdurrahman bin Abu Bakar bin
‘Abdullah bin Abu Mulaikah, Ismai’il bin ‘Abdullah bin Qisthinthin
al-Muqri (Wafat 170 H), Muslim bin Khalid az-Zanji (Wafat 179 H), dan
banyak lagi yang lain.
Kemudian
ketika di Madinah adalah Imam Malik bin Anas, ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad
ad-Darawadi, Ibrahim bin Sa’ad bin ‘Abdurrahman bin ‘Auf, dan
selainnya. Dari wilayah-wilayah lainnya pula adalah seperti Hisyam bin
Yusuf ash-Shan’ani (Wafat 197 H), Mutharrif bin Mazin ash-Shan’ani,
Waki’ bin al-Jarrah (Wafat 196 H), dan Muhammad bin al-Hasan
asy-Syaibani (Wafat 189 H), serta banyak lagi selainnya.
Imam
al-Baihaqi rahimahullah turut menyebutkan anak-anak murid utama Imam
asy-Syafi’i rahimahullah dalam kitab Manaqibnya. Secara umumnya, orang
yang mengambil ilmu secara langsung daripada Imam asy-Syafi’i amatlah
ramai dan tidak ada yang mampu menghitungnya kecuali Allah Subhanahu wa
Ta’ala. Tetapi di antara yang terkenal lagi utama adalah seperti Imam
ar-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi lahir pada 174 H dan wafat pada tahun
270 H. Beliau banyak meriwayatkan hasil tulisan Imam asy-Syafi’i.
Kedua,
Abu Ibrahim Isma’il bin Yahya al-Muzani (Wafat: 264H). Imam al-Muzani
dikatakan oleh Imam asy-Syafi’i sebagai, “pembela madzhabku.”
Seterusnya
adalah Imam Abu Ya’qub Yusuf bin Yahya al-Buwaithi rahimahullah (Wafat
231 H). Beliau adalah al-Imam, al-‘Allamah, Sayyid al-fuqaha’ (imam para
ahli fiqh), dan merupakan sahabat imam asy-Syafi’i yang saling
berdampingan sehingga ia menjadi murid asy-Syafi’i yang paling menonjol.
Imam
asy-Syafi’i menyebutkan tentang al-Buwaithi : “Tidak ada seorang pun
dari para sahabatku yang lebih banyak ilmunya daripada al-Buwaithi.”
Al-Buwaithi
banyak berhadapan dengan fitnah ahli kalam (mu’tazilah) ketika
pemerintahan khalifah al-Watsiq. Beliau disiksa atas arahan khalifah dan
akhirnya mati dalam penjara. Beliau adalah seorang yang sabar, imam
dalam ilmu, menjadi contoh dalam amal, seorang yang zuhud, sentiasa
berzikir, dan banyak tahajjudnya.
Imam
ar-Rabi’ bin Sulaiman rahimahullah berkata : “al-Buwaithi rahimahullah
bibirnya sentiasa bergerak mengingati Allah. Aku tidak pernah menemui
orang yang lebih cepat memetik hujjah dari Kitabullah mengatasi
al-Buwaithi.
Aku
melihat beliau dinaikkan di atas seekor kuda dengan leher dan kakinya
diikat serta diberi beban batu seberat 40 rithil (lebih kurang 17
kilogram).
Al-Buwaithi
berkata : “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menciptakan makhluk dengan
kata “kun” (jadilah!), maka makhluk itu pun jadi (wujud). Jika kata
“kun” merupakan makhluk, seakan-akan suatu makhluk telah diciptakan oleh
makhluk yang lain. Jika aku dimasukkan untuk menghadapnya (khalifah
al-Watsiq), aku akan tetap berkata jujur padanya. Aku akan mati dalam
belenggu ini sehingga datang suatu kaum yang mengetahui bahawasanya
telah mati dalam keadaan terbelenggu segolongan manusia kerana persoalan
ini.”
Al-Buwaithi
rahimahullah meninggal dunia dalam keadaan terbelenggu di penjara ‘Iraq
pada tahun 231H. (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 12/358)
Demikianlah
secara ringkas catatan-catatan berkaitan kehidupan, peribadi,
pengembaraan, dan keilmuan imam asy-Syafi’i rahimahullah. Semoga kita
dapat mengenali beliau dengan lebih dekat sekaligus mengambil manfaat
yang luas daripada beliau. Tidak hanya sekadar mengenal dan mendengar
nama, tetapi mengenal beliau dari sudut ilmu, agama, dan karena Allah
Subhanahu wa Ta’ala.

